Baris ayat ini seolah kena dengan saya untuk beberapa hari kebelakangan ini:
Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?
Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.
Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.
Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!
Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.
Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!
Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.
Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!
Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.
Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!
No comments:
Post a Comment